PENDUDUK sebuah kampung dikejutkan dengan kematian seorang pengantin baharu yang ditemukan tidak bernyawa di belakang rumah ibu bapanya pada 25 Mei lalu.
Mangsa seorang lelaki berusia 20 tahun itu dilaporkan baru sahaja melangsungkan pernikahan lima hari sebelumnya.
Kejadian berlaku di Buton Tengah, Mawasangka di Indonesia.
Ketua Polis Mawasangka, Inspektor Kamaluddin memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan oleh bapanya sendiri.
"Si bapa menemukan mangsa dalam posisi tergantung di belakang rumah," katanya.
Sebelum kematiannya, mangsa sempat menghantar mesej kepada adik perempuan memberi nasihat tentang kehidupan.
"Sila cari duit banyak-banyak adikku, supaya orang lain menghargai kamu," ujarnya dalam kandungan mesej dihantar.
Menurut polis, beberapa saksi dipanggil bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan awal mendapati perkahwinan lelaki itu dan pasangannya berlangsung dalam masa yang singkat dan kurang perancangan.
Dipercayai mangsa mengalami tekanan emosi, mental dan gangguan psikologi untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan rumah tangga.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa
Sebagai peringatan bersama khususnya kepada yang beragama Islam, perbuatan membunuh diri merupakan dosa besar yang amat dilarang dalam Islam. -Agensi


