suria

Faizan Zaki juara pertandingan mengeja di Amerika, tewaskan lebih 240 peserta lain

Faizan juara Scripps National Spelling Bee 2024 pada Khamis. Foto Julia Demaree Nikhinson/ AP

PERKATAAN 'Éclaircissement' menjulang Faizan Zaki sebagai juara pertandingan mengeja ‘Scripps National Spelling Bee 2025’ yang berlangsung pada Khamis lalu.

Kemenangan ini begitu bermakna buat pelajar berusia 13 tahun itu selepas muncul naib juara dalam kejohanan sama edisi tahun lalu.

Faizan dinobatkan sebagai juara selepas berjaya mengeja dengan tepat perkataan Perancis yang bermaksud ‘penjelasan terhadap sesuatu yang kabur’.

Pertandingan tersebut berakhir selepas dua peserta lain, Sarvadnya Kadam dan Sarv Dharavane, gagal mengeja dengan betul dalam pusingan penentu.

Dia membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai AS$50,000 (RM212,800).

Seramai 243 peserta muda bertanding pada edisi kali ini yang berlangsung di National Harbor, Maryland, Amerika Syarikat.

Semua peserta tersebut layak ke pentas kebangsaan selepas memenangi pertandingan peringkat wilayah masing-masing pada Mac. 

Pertandingan ejaan ini bukanlah sesuatu yang asing buat Faiz yang telah menyertainya sejak berumur 7 tahun pada 2019 dengan menjadi salah seorang peserta termuda dalam sejarah penganjuran poertandingan ini dengan mendapat tempat ke-370.

Dilahirkan di Dallas, Texas, manakala ibu bapanya dari Hyderabad, India, pelajar ini memperbaiki pencapaiannya pada 2023 dengan menduduki tempat ke-21.

Menurut penganjur, seramai 178 peserta merupakan pendatang baharu manakala 53 lagi pernah menyertai peringkat kebangsaan sebelum ini.

Pertandingan tahun ini juga istimewa apabila ia menandakan ulang tahun ke-100 penganjuran Scripps National Spelling Bee. -Agensi

Artikel Lain