suria

Ngeri lelaki penggal kepala kakak ipar! Usung keliling kampung dulu, kemudian bawa ke balai polis

Lelaki terbabit dilihat mengusung kepala kakak iparnya sekeliling kampung sebelum pergi ke balai polis.

SEORANG lelaki bertindak memenggal kepala kakak iparnya selepas masing-masing saling berbalah dan bertengkar.

Dalam kejadian pada pagi Sabtu itu, suspek turut menjinjing kepala mangsa di sekitar kampung dan membawanya terus ke balai polis bersama senjata yang digunakan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bengal Barat, India.

Menurut pegawai polis daerah, suspek dikenali sebagai Bimal Mondal manakala kakak iparnya, Sati Mondal.

"Kami mengesyaki perbalahan keluarga mungkin membawa kepada pembunuhan yang mengerikan itu. 

"Dia tidak menunjukkan rasa kesal semasa menyerah diri, membawa kepala yang terputus dan senjata pembunuhan. 

"Kelakuannya menunjukkan dia tidak berada dalam keadaan normal," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang saksi berkata, tertuduh dilihat memaki hamun mangsa dan suaminya semasa berkeliaran di jalan raya.

"Dia menjerit bahawa dia telah 'membayar balik' ketidakadilan yang dilakukan terhadapnya selama bertahun-tahun. 

"Kemarahannya sangat dahsyat sehingga tiada siapa yang berani menghalangnya semasa dia berjalan dengan senjata dan kepala mangsa.

"Pada masa sama terdapat beberapa orang merakam video di telefon bimbit mereka," jelasnya.

Menurut penduduk setempat pula, pertengkaran antara Bimal dan kakak iparnya telah berlaku selama beberapa hari dan kedua-duanya saling mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada kami menyangka pertelingkahan keluarga itu, akan berakhir dengan tragedi ngeri,” kata jiran mangsa. -Agensi

Artikel Lain