SERAMAI 17 individu dilaporkan maut manakala tiga lagi kritikal selepas minum arak tiruan.
Minuman keras berkenaan dijual dengan harga jauh lebih murah kerana disuling sendiri secara haram dan dipercayai bercampur metanol.
Kejadian dilaporkan berlaku di Majitha, India pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Amritsar (luar bandar), Maninder Singh, mengesahkan bahawa arak tiruan tersebut dibekalkan oleh seorang suspek yang dikenali sebagai Prabhjeet Singh.
“Kami menerima maklumat pada pukul 9.30 malam bahawa beberapa individu maut selepas meminum arak tiruan. Kami bertindak segera dan berjaya menahan empat suspek, termasuk pembekal utama, Prabhjeet Singh,” ujarnya.
Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi suspek, Sahab Singh, yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.
Polis kini sedang menyiasat sumber pembekalan arak tersebut dan syarikat yang terlibat.
Timbalan Pesuruhjaya Amritsar, Sakshi Sawhney, turut memaklumkan bahawa pasukan perubatan dihantar ke lima kampung yang terjejas bagi mengenal pasti dan merawat mereka yang mungkin terdedah kepada arak beracun.
“Kami mengambil semua langkah untuk memastikan tiada kematian tambahan. Semua mangsa, sama ada bergejala atau tidak, dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.-Agensi


