suria

Disangka rai perkahwinan sejenis, tetamu terkejut rupanya pengantin perempuan tampil imej bermisai

Wilda tidak berhasrat mengubah imej aslinya, anggap solekan sekadar penyeri. -Foto Instagram emjhielala

KECANTIKAN seseorang adalah subjektif, bergantung kepada cita rasa mata yang melihat dan bukanlah diukur berdasarkan stereotaip masyarakat.

Baru-baru ini, seorang wanita berkumis menuai pelbagai reaksi warga maya apabila tidak segan silu mempamerkan keunikan dimilikinya meskipun bergelar raja sehari.

Hirsutism, istilah yang tepat menggambarkan seorang perempuan ditumbuhi bulu secara berlebihan di kawasan muka seperti misai dan janggut bergantung faktor hormon atau tahap kesihatan seseorang.

Video dimuat naik jurusolek perkahwinannya di Instagram meraih satu juta tontonan, rata-rata mengundang kecaman di ruangan komen.

"Kalau mak-mak Facebook nampak, mesti dia kata pengantin lelaki nikah dengan lelaki.

"Ingatkan suaminya jadi testimoni, lepas baca caption rupa-rupanya dia perempuan.

"Kalau saya jadi pengantin mesti minta dicukur, kerana momen istimewa tak boleh diulang. Mesti nampak cantik kalau tiada misai. Tapi terpulang la kepada orangnya," ujar netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Oles-oles tepung jagung, bulu pun tanggal... Ini petua berguna untuk wanita bermisai

Malah, tidak kurang juga ada yang memuji dan menghormati keputusannya.

"Dia sudah berdamai dengan keadaannya. Bukan senang nak terima, tapi dia dengan beraninya tunjuk sisi dirinya yang lain.

Sebegitu hebat dia sayang diri sendiri, kini dia juga dapat pasangan yang mencintainya dengan luar biasa."

"Tabik dengan perempuan yang tak pernah rasa insecure malah share tip agar selalu confident."

Sementara itu, pengantin bernama Wilda sempat disarankan untuk tampil cantik tanpa bulu di wajah pada hari bahagianya, namun wanita asal Indonesia ini bagaimanapun kekal berpegang teguh pada prinsip.

Dia menyifatkan solekan berkenaan semata-mata sebagai caranya menghargai diri sendiri.

"Tujuan saya make up bukan untuk puaskan mata orang lain, tapi sekadar menghargai diri sendiri di hari bahagia. Disebabkan itu, saya tidak mahu cukur misai dan kening," jelasnya.

Jurusolek itu bahkan menuruti permintaan pelanggannya yang enggan membuang bulu-bulu yang dianggap 'aib' bagi sesetengah orang.

"Dia cantik dan unik, definisi cantik tidak semestinya mengubah bentuk," menurutnya. -Agensi

Artikel Lain

Tun M dibenar keluar IJN