SOLAT Subuh berjemaah di sebuah surau menjadi kecoh apabila seorang lelaki warga emas ditetak pada bahagian kepala.
Malah dua lagi jemaah turut mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan selepas cuba untuk membantu mangsa.
Dalam kejadian di Surau Al Manar, Bojonegoro di Indonesia itu, Abdul Aziz, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa, Arik Wijayanti, 60, yang merupakan isteri mangsa dan Cipto Rahayu, 63, dirawat di hospital.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bojonegoro, AKP Bayu Adjie Soedarmono, amukan suspek berusia 67 tahun itu berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila tanah miliknya dijadikan laluan awam.
"Suspek mungkin nak balas dendam sebab kecewa tanah milik dia dijadikan laluan awam oleh mangsa yang merupakan ketua rukun tetangga," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Kedungadem, Agus Hari Purwanto mendedahkan, tanah yang dijadikan laluan umum itu telah dibeli pada 2015.
"Dia (suspek) juga sudah menandatangani dokumen berkaitan pada 2015 selepas pemilikan tanah pusakanya dibahagi kepada dua lagi adik beradiknya.
"Bagaimanapun, terdapat bahagian yang telah dijual dan dibeli Cipto Rahayu," tambahnya menceritakan kisah yang berlaku pada 10 tahun lalu.
Menurut Agus, pada masa itu, dia belum lagi dilantik sebagai ketua kampung.
Memetik laporan detik Jatim, tanah yang dijadikan laluan berukuran 2x10 meter, berada di samping bengkel milik suspek.
Malah dia dipercayai telah beberapa kali ke Pejabat Daerah Kedungadem untuk berbincang tentang penggunaan tanah berkenaan, namun tidak berhasil.


