PERTIKAIAN mengenai harta pusaka mengundang tragedi apabila seorang lelaki maut, dipercayai dibunuh adik kandungnya.
Tular video di media sosial menunjukkan satu pasangan adik-beradik sedang bertengkar antara satu sama lain.
Insiden tersebut disaksikan sekumpulan penduduk di hadapan sebuah gerai, sebelum mereka melaporkan perkara itu kepada polis.
Kejadian itu berlaku di Pamulang di Tangerang Selatan, Indonesia.
Siasatan awal mendapati mangsa berusia 60 tahun ditetak adik kandungnya berdasarkan kesan luka di bahagian leher dan bahu.
Mangsa yang berlumuran darah disahkan meninggal dunia oleh pihak polis sejurus tiba di tempat kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Abang tembak adik dengan senapang patah, mangsa sempat hubungi kakak sebelum mati
Sementara itu, Ketua Polis Tangerang Selatan, AKBP Victor Inkiriwang mengesahkan penahanan suspek berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun katanya, motif sebenar kejadian belum dapat dipastikan dan kes tersebut sedang disiasat polis.
"Belum pasti, itu hanya spekulasi dalam kalangan penduduk," katanya menjawab desas-desus perebutan harta yang dipercayai sebagai punca kejadian. -Agensi


