PELBAGAI karenah graduan dapat disaksikan ketika majlis konvokesyen, daripada isyarat tangan sehinggalah aksi tarian.
Lebih mencuri perhatian apabila seorang graduan dilihat membawa tiga ekor lembu beserta keretanya sewaktu majlis graduasi.
Susulan itu, graduan Pengurusan dari Universitas Merdeka Malang, Priswana Akbar Ramadhani yang juga seorang 'content creator' menuai pujian netizen menerusi platform media sosial berikutan videonya yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, idea tersebut tercetus selepas menyelesaikan thesis dan keinginan untuk menzahirkan rasa bangga kerana berjaya menamatkan pengajian tinggi.
Lebih menggembirakannya apabila, perkara itu mendapat sokongan penuh daripada pihak universiti yang dikatakan turut menyediakan kawasan untuk lembu beristirehat.
Difahamkan, dia menternak lembu dan kambing bagi membiayai yuran pengajiannya sebelum ini.
Meskipun sibuk menguruskan legasi penternakan datuknya, anak kelahiran Jawa Timur berusia 23 tahun ini masih mampu mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) di atas 3.5.
"Penternakan bukan sahaja warisan, ia adalah potensi perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan," ujarnya yang menyukai interaksi secara langsung dengan haiwan ternakan.
Priswana juga berhasrat untuk menceburi bidang pengeluaran makanan haiwan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, 'Ladang Mbah Lurah' yang diusahakannya menternak sekitar 25 ekor lembu baka Peranakan Ongole (PO) serta 37 ekor kambing, dengan pendapatan mencecah Rp150 juta (RM39,060) hasil penjualan 15 ekor lembu sebulan.
Priswana berhasrat mewujudkan sebuah zoo mini bertemakan kambing bagi tujuan pendidikan kepada semua peringkat umur pada masa hadapan. - Agensi


