suria

Indonesia kuarantin rakyatnya yang baru pulang dari China di Pulau Natuna selama 14 hari

Pelajar Indonesia melalui prosedur untuk mengekang penularan wabak koronaviru sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim di Batam, pada Ahad. Foto: AFP/ INDONESIAN EMBASSY

BAGI mengelakkan penularan wabak novel koronavirus, Indonesia mengambil langkah mengevakuasi 238 warganya di Pulau Natuna bagi menjalani proses kuarantin selama 14 hari.

Kesemua mereka dibawa pulang dari wilayah Hubei, China dengan menaiki pesawat komersial penerbangan Batik Air.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Hang Nadim, Pulau Batam, kira-kira pukul 8.45 pagi Ahad, waktu Indonesia Barat.

Beberapa media tempatan melaporkan kesemua mereka kemudiannya diterbangkan dengan menggunakan tiga pesawat tentera ke Pulau Natuna, Provinsi Kepulauan Riau yang terletak di Laut China Selatan.

Mereka ditempatkan di pangkalan udara tentera Indonesia di Pulau Natuna, yang dilaporkan lengkap dengan pelbagai kemudahan, serta akan menjalani pemeriksaan dan pemantauan kesihatan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang bertemu keluarga mereka.

Untuk rekod, setakat ini belum terdapat kes jangkitan 2019 novel koronavirus di Indonesia.

"Semua mereka dilaporkan sihat, bebas dari jangkitan. Kerajaan China juga menetapkan hanya mereka yang sihat sahaja dibenarkan keluar dari wilayah yang terkena wabak itu," kata Menteri Kesihatan Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dipetik beberapa media tempatan hari ini.

Khamis lalu, Presiden Indonesia Joko Widodo dilaporkan mengarahkan rakyatnya di Wuhan dan Wilayah Hubei, dibawa pulang ke Indonesia, susulan jangkitan koronavirus, yang semakin membimbangkan itu. - BERNAMA

Artikel Lain