suria

Isteri ‘mengidam’ Honda Jazz, suami terus keluar curi kereta ketika sedang makan bersama di restoran

AP ditahan selepas dua jam bersama kereta Honda Jazz yang dicurinya. -Istimewa/Tribunnews

SEORANG suami nekad mencuri kereta jenis Honda Jazz ketika sedang makan di sebuah restoran bersama isterinya.

Kejadian berlaku di Warung Makan Ayam Panggang Lombok Cengis, Kota Semarang, Indonesia.

Apa yang menjadi perhatian, keinginan untuk mencuri berlaku spontan sehingga lelaki dari Surabaya itu terlupa tentang isterinya sekali gus dia ditinggalkan bersendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah rakam video bogel ibu, pemuda ditahan kerana curi kereta pula

Bagaimanapun lelaki berkenaan yang hanya dinamakan sebagai AP, 34, berjaya ditahan polis selepas dua jam kerana mencuri sebuah Honda Jazz milik Andy Prabowo, 33.

Kisah bermula apabila pelaku, ketika sedang makan bersama isterinya ternampak kunci kereta Honda Jazz milik pelanggan lain yang diletakkan di atas meja.

Ketika itu pemiliknya pergi ke tandas tetapi meninggalkan kunci keretanya begitu sahaja.

Tanpa berfikir panjang, AP terus mengambil kunci tersebut dan memandunya keluar dari restoran.

Polis melakukan pemeriksaan ke atas kereta yang dicuri. -foto Tribunnews

Menurut keterangan kepada pihak polis, AP berkata dia nekad mahu mencuri kerana isterinya sudah lama mengidamkan sebuah kereta Honda Jazz.

Katanya, ia dilakukan spontan tanpa sebarang perancangan, malah mereka berdua datang ke restoran itu pun dengan memandu kereta sendiri.

"Saya tinggalkan isteri di warung ketika saya sedang membawa sebuah kereta Honda Jazz," kata AP memetik laporan Tribunjateng.com.

Ketika AP memandu kereta curi tersebut, kunci keretanya sendiri ditinggalkan bersama isterinya.

Justeru, dia menyuruh isterinya memandu kereta mereka ke satu lokasi yang sudah dijanjikan.

AP mengaku yang isterinya tidak tahu apa-apa mengenai tindakan jenayah yang dilakukannya.

"Isteri saya tak tahu apa-apa. Yang jelas, nanti kami berdua akan bertemu di lokasi yang dijanjikan.

"Saya tak beritahu isteri bahawa saya sedang membawa kereta orang lain. Jadi, saya bawa kereta orang lain, isteri bawa kereta saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Semarang Utara, Kompol Johan Valentino berkata ketika kejadian, pelaku bersama isterinya sedang bercuti ke Semarang.

Katanya, tindakan AP terus viral di media sosial kerana sempat dirakam CCTV di restoran tersebut selain mangsa segera membuat laporan polis.

"Isteri pelaku terkejut, tidak menyangka suaminya nekad mencuri kereta," katanya.

Suspek akan didakwa melakukan kecurian dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun. -Tribunnews

curi, Honda Jazz, isteri

Artikel Lain