suria

Gangguan teknikal semasa bersiaran langsung dedah usia sebenar vlogger cantik, rupanya guna 'filter'

Qiao semasa bersiaran langsung. Foto youtube game express

SEORANG vlogger terkenal di China membangkitkan kemarahan ribuan peminatnya, selepas gangguan teknikal mendedahkan dia sebenarnya berusia 58 tahun.

Sebelum ini dia menggunakan aplikasi filter untuk kelihatan lebih muda.

Dikenalia sebagai Your Highness Qiao Biluo, ribuan peminat setia menyaksikan siarannya menerusi platform dalam talian tempatan, Douyu.

Namun, vlogger yang mempunyai rupa paras menarik itu sebenarnya merupakan seorang wanita berusia 58 tahun, apabila dikesan menggunakan filter video bagi mendapatkan sumbangan.

Penggunaan aplikasi filter sering digunakan oleh kebanyakan vlogger di China, tetapi tidak ramai menyangka Your Highness Qiao Biluo kelihatan begitu berbeza dengan realiti.

Ramai mengetahui dia menggunakan filter, dan bertalu-talu memintanya mendedahkan wajah sebenar.

Dia bagaimanapun enggan dan memberitahu hanya akan menunjukkan wajahnya sekiranya menerima sumbangan yang mencukupi.

"Saya tak boleh tunjuk wajah saya sehingga saya terima hadiah bernilai 100,000 yuan (RM60,217). Lagipun, saya seorang hos yang cantik," Qiao dilaporkan memberitahu peminat-peminatnya sebelum gangguan teknikal berlaku.

Ketika bersiaran langsung, filter yang digunakan vlogger itu secara tiba-tiba mengalami masalah, sekali gus mendedahkan rupanya yang dilihat seperti seorang wanita pertengahan umur dan badannya lebih besar sedikit.

Dia kemudian menyedari wajah sebenarnya terdedah apabila melihat ramai yang mempunyai akses VIP mula meninggalkan platform rakaman itu.

Malah, ada yang membatalkan sumbangan mereka dan meninggalkan platform, dan Qiao segera menghentikan siarannya. - odditycentral


Artikel Lain