suria

Dakwa ada cicak dalam nasi briyani, lelaki tua rayu dilepaskan apabila 2 lagi taktik tipu terbongkar

Pal mendakwa nasi briyani yang dibelinya dicemari apabila menemui cicak didalamnya.

SEORANG warga emas lelaki di India ditahan  kerana sengaja bertindak mencemarkan nasi briyani yang dibelinya di gerai stesen kereta api.

Berusia 70 tahun, Sundar Pal dicekup di Stesen Kereta Api Guntakal selepas mengaku meletakkan cicak ke dalam makanan itu.

South Central Railways menerusi kenyataan yang dikeluarkan menyebut, Pal mengadu menjumpai cicak dalam nasi biryani yang dibelinya.

Lelaki itu juga mendakwa dimasukkan ke hospital selepas sakit akibat memakan nasi biryani tersebut.

Bagaimanapun, seorang pengurus kanan bahagian komersil curiga dengan dakwaannya apabila mendapati ada persamaan antara kes Pal dengan laporan kes seumpama itu di stesen kereta api di Jabalpur.

Susulan itu, pihak stesen kereta api Guntakal telah menghubungi Jabalpur bagi mendapatkan maklumat berhubung kes berkenaan.

Segalanya terbongkar apabila gambar seorang lelaki yang mendakwa menjumpai cicak dalam samosa dalam kejadian di Jabalpul adalah Pal.

Warga emas sama menggunakan taktik sama di Pune di mana dia mendakwa menemukan sebilah pisau kecil dalam idli yang dibeli di Stesen Kereta Api Miraj.

Namun, kelainan dalam kes ini apabila Pal dikatakan mengugut pemilik kedai untuk mendapatkan wang.

Ketika disoal pihak berkuasa, Pal mengaku meletakkan sejenis ikan dan bukannya cicak ke dalam makanannya.

Mendakwa menghidap kanser, Pal kemudiannya merayu supaya dilepaskan.

Walaupun tiada kepastikan dia menghidap penyakit itu, pihak berkuasa stesen kereta api berkenaan melepaskannya dengan amaran untuk tidak mengulangi perbuatannya itu.




cicak, Pal, nasi briyani

Artikel Lain