suria

Guru suruh pelajarnya ‘kawal’ haid, tak benarkan pergi tandas

Maise Rae (kiri) dan ibunya mencadangkan pelajar-pelajar perempuan memakai gelang khas bagi menunjukkan kepada guru-guru bahawa mereka sedang datang bulan. -fotoSWNS

SEORANG remaja perempuan mendakwa dia tidak dibenarkan pergi ke tandas ketika haid.

Maisie-Rae Adams, 14, berkata dia tidak dapat patuh arahan itu dan tiada pilihan melainkan keluar dari bilik darjah ketika sesi pembelajaran.

Apabila kembali ke kelas, begnya telah diletakkan di bilik lain dan dia tidak boleh mengikuti kelas tersebut.

Dia mendakwa gurunya di Rednock School di Dursley, Gloucestershire, menyuruh dia mengawal haidnya.

Maisie Rae berkata dia mengalami kitaran haid berat dan tidak teratur yang menyebabkan dia perlu berdepan dengannya sekerap tiga kali sebulan.

"Kelas seolah-olah terkejut dengan apa yang berlaku. Saya mengambil tuala wanita saya dan terus pergi ke tandas.

"Apabila saya cuba kembali ke kelas, guru beritahu beg saya berada di bilik lain dan saya tidak perlu meneruskan kelasnya," katanya.

Ibunya, Kelly berkata: "Apabila Maisie beritahu saya perkara itu, saya sangat marah sampai nak menangis. Dia macam saya juga. Keyakinannya, rasa malunya, sama dengan saya.

"Saya tahu bagaimana perasaannya. Maisie malu besar dan apa yang berlaku kepadanya adalah sesuatu yang ngeri. Dia tak sepatutnya ditahan kerana perlu pergi ke tandas semasa tempoh haid."

Dua beranak itu kini mahu memperkenalkan gelang merah jambu supaya guru tahu bahawa muridnya sedang datang bulan, walaupun sekolah sudah mempunyai skim yang hampir sama.

Ibu kepada empat anak itu menambah: "Sekolah memberitahu kami bahawa mereka mempunyai kad merah jambu yang boleh ditunjukkan oleh mereka. Maisie tak tahu tentangnya." -MetroUK

haid, guru, datang bulan

Artikel Lain