Buat kali pertama Twitter dedah jumlah pengguna aktifnya, tertinggal sedikit di belakang Snapchat - Dunia | mStar

Buat kali pertama Twitter dedah jumlah pengguna aktifnya, tertinggal sedikit di belakang Snapchat

Jack Dorsey. -foto REUTERS

SELAMA bertahun-tahun, Twitter tidak pernah mendedahkan jumlah pengguna hariannya.

Bagaimanapun, buat pertama kalinya, platform media sosial yang diketuai Jack Dorsey ini mendedahkan jumlah pengguna hariannya secara umum.

Dalam sebuah laporan untuk para pemegang saham, Twitter berkata mereka mempunyai seramai 126 juta pengguna aktif setiap hari dalam tempoh suku keempat (Q4) 2018.

Angka ini, menurut Twitter, meningkat sembilan peratus dari tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

"Rata-rata jumlah pengguna harian untuk Q4 adalah 126 juta, naik sembilan peratus dari tahun ke tahun," tulis Twitter dalam laporannya.

"Peningkatan ini didorong oleh kombinasi pertumbuhan organik, pemasaran dan peningkatan produk.

"Kami melihat angka pertumbuhan dua digit dalam lima dari 10 pasaran global teratas kami," menurut laporan itu lagi.

Angka ini bagaimanapun lebih sedikit berbanding jumlah pengguna harian Snapchat dan Facebook.

Snapchat memiliki pengguna harian sebanyak 186 juta, sementara terdapat sekitar 1.2 bilion pengguna aktif Facebook setiap hari.

Memetik Recode, walaupun begitu jumlah ini sangat penting bagi Twitter yang kembali menunjukkan pertumbuhan.

Ini kerana, sejak 2013, jumlah penggunanya terus merosot.

Angka ini sendiri sudah tentu memberi gambaran besar tentang berapa ramai yang masih aktif menggunakan Twitter setiap hari.

"2018 adalah bukti bahawa strategi jangka panjang kami berfungsi," kata Dorsey selaku ketua eksekutif dalam satu kenyataan.

"Memasuki tahun ini kami yakin akan terus memberikan prestasi yang kukuh dengan memberi tumpuan menjadikan Twitter perkhidmatan yang lebih baik dan lebih banyak perbualan."

Twitter pernah menyatakan bahawa mereka akan lebih mengutamakan kestabilan jangka panjang berbanding pertumbuhan jumlah pengguna.

Namun, langkah tersebut dianggap lebih menyukarkan para pemegang saham dan pelabur dalam menilai perkembangan perusahaan.

Para pelabur kerap menggunakan data jumlah pengguna harian dan bulanan serta data pengguna potensi yang dapat dijangkau oleh platform tersebut. -WashingtonPost

pengguna Twitter , Jack Dorsey

Artikel Lain

Sultan Ahmad Shah mangkat