suria

Rakaman tragis ibu tak layan pujukan polis, bawa anak terjun jambatan selepas bergelar gelandangan

SEORANG ibu bertindak terjun dari sebuah jambatan bersama anak lelaki berusia 10 tahun ketika perkhidmatan kecemasan cuba menenangkan dirinya.

Video mengerikan yang dirakam dari jambatan itu menunjukkan detik-detik terakhir sebelum wanita itu terjun pada ketinggian lebih 100 meter ketika polis dan orang sekeliling memujuknya untuk tidak bertindak sedemikian.

Jessy Paola Moreno Cruz, 32, dan anaknya May Ceballos dikenal pasti selepas kejadian tragis itu yang mengejutkan penduduk di Ibague, Colombia.

Wanita itu bersama anaknya dikatakan menjadi gelandangan selepas dihalau keluar dari rumah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar sewa, lapor media tempatan.

Rakaman menyayat hati yang tersebar dalam talian menunjukkan si ibu mengabaikan pujukan polis dan terus terjun.

Dalam klip itu, seorang pegawai didengar berkata 'Ya Tuhanku, dia dah terjun' manakala seorang lagi anggota terduduk tidak dapat menahan kesedihan.

Polis dan orang ramai yang terkejut dilihat meraung selepas kejadian tragis itu.

Anggota Bomba Rafel Rico memberitahu media tempatan: "Mereka sudah merayu dan memujuknya supaya tidak melakukannya tetapi sayangnya dia mengambil keputusan yang membawa maut."

Rico berkata pihak berkuasa tempatan masih berusaha mencari mayat.

Wanita itu dilaporkan mempunyai masalah kewangan dan baru-baru ini dihalau dari rumahnya.

Datuk Bandar Ibague, Guillermo Alfonso Jaramillo memberitahu pemberita: "Insiden ini mempunyai kaitan dengan keadaan dahsyat yang kita sedang hadapi di Ibague dan di seluruh Colombia." -MetroUK

terjun, bunuh diri, gelandangan

Artikel Lain