suria

Bentang tikar & tumpang yoga dalam McDonald's, pelanggan terkejut!

SEORANG wanita asing secara tiba-tiba dilihat mengeluarkan tikar dan melakukan yoga di sebuah premis McDonald's.

Wanita itu mula mendapat perhatian di media sosial selepas gambar-gambar sesi yoganya di restoran makanan segera itu dimuat naik ke kumpulan Facebook tertutup 'Everything Bangkok', Selasa.

Individu yang memuat naik posting berkenaan, Hilla Hatt, yang turut menyaksikan adegan yoga itu berkata kejadian berlaku di McDonald's Star Avenue Lifestyle Mall yang terletak di daerah Mueang, Chiang Mai, Thailand.

"Saya sedang makan burger Big Mac dan ternampak dia mengeluarkan tikar, melakukan namaste, seterusnya meneruskan senaman yoga rutin penuh.

"Dia masih meneruskan gerakannya ketika saya berlaku," katanya, memetik Coconuts.

Menurut Hatt, wanita itu melakukan rutin tersebut sekurang-kurangnya sepanjang 10 minit ketika dia berada di restoran.

Wanita itu ditemani seorang rakan yang hanya duduk dan 'melayan' sahaja apa yang dilakukannya.

"Tiada siapa yang cakap apa-apa, hanya biarkan dia dengan urusannya," katanya.

Disebabkan pusat beli-belah itu terletak bersebelahan dengan stesen bas, ramai tertanya-tanya adakah mereka akan melancong, tetapi Hatt tidak dapat mengesahkannya.

"Seingat saya, terdapat beberapa beg galas. Pemerhatian saya lebih tertumpu kepada yoga sebenarnya," katanya.

Sesi yoga yang dilakukan secara tiba-tiba di sebuah restoran makanan segera mungkin sedikit mengganggu.

yoga, Mcdonalds

Artikel Lain