suria

Nahas pesawat Lion Air: Operasi SAR dihentikan, Basarnas mohon maaf

Anak kapal tidak dapat menahan sebak apabila dibawa melawat ke lokasi nahas.

JAKARTA: Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) menghentikan operasi mencari mayat penumpang pesawat Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lalu.

"Operasi pencarian ditutup hari ini. Namun Pejabat Mencari dan Menyelamat di Jakarta dan Bandung akan kekal dalam keadaan siap sedia," kata Ketua Basarnas, Muhammad Syaugi pada sidang media di sini, Sabtu.

Pejabat SAR di Jakarta dan Bandung sedia berkhidmat jika mereka menerima maklumat penemuan mayat penumpang nahas pesawat malang itu.

Beliau berkata, pasukan SAR telah berusaha sedaya upaya selama 13 hari dalam operasi tersebut.

Waris penumpang pesawat Lion Air JT610 pengsan semasa memberi penghormatan terakhir kepada mangsa terkorban di lokasi nahas.

"Kami mohon maaf kepada orang ramai terutamanya kepada keluarga mangsa jika usaha sepanjang operasi SAR tidak memuaskan hati semua pihak," katanya.

Pada Sabtu, pasukan SAR telah mengumpul 196 beg berisi mayat.

Semasa nahas, pesawat malang itu membawa 189 penumpang dan anak kapal.

Jurucakap Pesuruhjaya Kanan Polis Indonesia, Sulistyo Pudjo Hartono berkata mereka telah mengenal pasti 51 mayat mangsa, 11 hari selepas nahas itu.

Katanya, jumlah beg bukan menunjukkan bilangan mayat yang ditemui pasukan SAR kerana setiap beg mengandungi bahagian badan daripada mangsa yang berlainan. - Tempo.co

Lion Air, JT610, Basarnas

Artikel Berikut

Artikel Lain