PERKONGSIAN seorang doktor mengenai seorang pesakit berusia 68 tahun yang meninggal dunia akibat serangan jantung hanya dua bulan selepas bersara menyentuh hati ramai.Dr Dhivya Dhyana yang bertugas di Australia itu berkata, kematian pesakit itu bukan perkara paling memilukan sebaliknya kisah di sebalik yang dikongsi balu Allahyarham selepas pemergiannya. Kata Dr Dhivya, wanita itu memaklumkan suaminya baru sahaja bersara selepas berkhidmat selama 37 tahun di syarikat sama.Apa lebih menyedihkan, perancangan untuk bercuti pada Ogos depan tidak kesampaian."Mereka juga telah merancang percutian pertama dalam hidup bersama selama sebulan pada Ogos nanti untuk mengembara dan menikmati kehidupan selepas bertahun-tahun bekerja keras."Semua tempahan sudah dibuat namun, dia tidak sempat menikmatinya," kata Dr Dhivya menerusi perkongsian di Instagram [Tonton Video].Kesibukan bekerja bukan alasan untuk menafikan hak bersama insan tersayang. -Gambar hiasan AIMenurutnya, wanita itu memaklumkan sepanjang 37 tahun bekerja, suaminya hampir tidak pernah mengambil cuti."Dia sentiasa mengutamakan pekerjaan demi menyara isteri dan tiga orang anak mereka."Malah, lelaki itu dikatakan tidak pernah menyertai percutian keluarga, melancong bersama rakan-rakan atau mengambil rehat secukupnya walaupun ketika kurang sihat."Dia selalu berkata, biar saya bekerja keras sekarang. Nanti selepas bersara, saya akan menikmati hidup," katanya.Dr Dhivya berkata, kisah tersebut membuatkannya terfikir tentang ramai individu yang menghabiskan sebahagian besar hidup mengejar kerjaya sehingga mengorbankan masa, kesihatan dan kebahagiaan diri.Menurutnya, ramai terperangkap dalam perlumbaan hidup tanpa menyedari bahawa masa muda, kesihatan dan peluang bersama keluarga tidak boleh dikembalikan."Apakah penghujung yang kita kejar? Adakah selepas anak-anak membesar dan mempunyai kehidupan sendiri? Atau ketika kita sudah terlalu tua, letih dan sakit untuk menikmati hasil usaha selama ini?" katanya.Dr Dhivya menegaskan bekerja dengan penuh komitmen adalah sesuatu yang baik, namun seseorang tidak seharusnya mengorbankan diri sehingga kehilangan tahun-tahun terbaik dalam hidup."Kerja bukanlah seluruh kehidupan. Ambillah cuti tahunan, gunakan cuti sakit apabila perlu, bercutilah bersama keluarga, jaga kesihatan dan berehat."Jangan menangguhkan kebahagiaan sehingga hari persaraan kerana tiada siapa yang tahu sama ada kita masih berpeluang menikmatinya pada masa akan datang," katanya.Dr Dhivya turut mengingatkan bahawa kehidupan sangat singkat dan keseimbangan antara kerjaya, kesihatan serta masa bersama insan tersayang adalah perkara yang tidak ternilai.Tip ringkas daripada perkongsian Dr Dhivya Dhyana- Jangan tangguhkan kebahagiaan sehingga hari persaraan.- Gunakan cuti tahunan dan cuti sakit yang diperuntukkan.- Utamakan kesihatan dengan pemeriksaan berkala dan gaya hidup sihat.- Seimbangkan tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi.- Luangkan masa berkualiti bersama keluarga dan insan tersayang.- Ambil rehat secukupnya bagi mengelakkan tekanan melampau.- Hargai masa ketika masih sihat, bertenaga dan berkemampuan.