suria

Siang bina rumah, malam main futsal untuk terapi pasca gempa bumi

Sebuah rumah yang rosak di kampung Sugian di pulau Lombok di Indonesia. - Gambar hiasan/AFP

LOMBOK: Selepas seharian kepenatan membina rumah yang musnah akibat gempa bumi beberapa bulan lepas, pemuda Lombok Utara, di sini bersantai dengan bermain futsal pada waktu malam.

Suasana meriah dengan sorakan begitu jelas kedengaran apabila melintasi gelanggang futsal yang terletak di Danyiang di sini, seolah-olah tragedi yang melanda kawasan petempatan itu tidak pernah berlaku.  

Pemuda Dusun Lokok Tujan, Desa Sesait Mulia, 26, berkata aktiviti itu sering dilakukannya bersama rakan-rakan untuk melupakan sementara kesengsaraan yang dihadapi mereka susulan bencana alam tersebut.

“Sudah menjadi aktiviti kami di sini pada waktu malam untuk bersukan bersama rakan-rakan selepas seharian membaiki rumah yang rosak teruk selepas gempa.

“Bila bermain futsal, saya lebih tenang dan elak daripada fikirkan keadaan rumah yang masih banyak perlu diperbaiki,” katanya kepada Bernama yang mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 di sini, anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Seorang penduduk berjalan di kawasan asjid yang ranap akibat gempa bumi di Lombok Utara, Indonesia. - AP

Bagi Sulkin Mada, 27, selepas seharian bekerja membina rumah penduduk setempat, waktu malam digunakannya untuk berjumpa dengan rakan-rakan ketika bermain futsal.

“Rumah saya sudah siap dibina dan kini saya tolong jiran-jiran yang lain untuk membaiki rumah mereka setiap hari... hanya waktu malam saya punyai masa bertemu rakan-rakan ketika bermain futsal bersama,” katanya.  

Katanya, selepas bermain futsal mereka sering kali meluangkan masa berkongsi cerita sesama mereka.

Lombok kini dalam fasa baik pulih selepas digegarkan dengan gempa bumi bermagnitud 6.4 pada skala Richter pada 29 Julai, disusuli gegaran kedua pada 5 Ogos, berukuran 7 skala Richter.  

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh membuat sumbangan dalam talian www.billplz.com atau deposit dalam akaun GLOBAL PEACE MISSION, Maybank: 5642 2161 1602, atau Bank Islam: 1402 3010 02922 4.

gempa bumi, Lombok, futsal

Artikel Lain