suria

Jokowi doakan Bapak Mahathir sihat

Dr Mahathir memandu sendiri kereta nasional untuk membawa Jokowi ketika lawatan presiden berkenaan ke negara ini pada 2015.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo telah menghubungi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikannya sebagai perdana menteri ke tujuh.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Jokowi, juga mengucapkan syukur kerana proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Malaysia berjalan lancar.

“Saya mengucapkan selamat atas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya senang mendengar proses demokrasi berjalan lancar dan aman,” katanya melalui kenyataan dari Istana Presiden di Bogor.

Ketika menghubungi Dr Mahathir, Jokowi berkata beliau meyakini hubungan kedua-dua negara akan bertambah baik.

“Sebagai negara serumpun saya percaya di bawah kepemimpinan Bapak Mahathir, hubungan antara kedua bangsa kita akan terus meningkat.

"Dan saya mendoakan Bapak Mahathir terus diberikan kesihatan untuk menjalankan amanah rakyat Malaysia ini,” katanya.

Dr Mahathir secara rasmi dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, Khamis.

Majlis diadakan di Istana Negara pada kira-kira jam 9.50 malam. Ia merupakan kali kedua Dr Mahathir dilantik ke jawatan itu.

Beliau sebelum ini merupakan perdana menteri Malaysia ke empat dan memegang jawatan itu dari tahun 1981 sehingga 2003.


Jokowi, Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain