suria

22 gerabak 'bercerai' dari kereta api, berundur 11km tanpa enjin

TUJUH pekerja telah digantung selepas 22 gerabak yang membawa 1000 penumpang terpisah dari keseluruhan badan kereta api dan bergerak berundur sepanjang 11km di negeri timur India, Orissa.

Gerabak yang terpisah itu dihentikan oleh kakitangan kereta api selepas mereka meletakkan batu di landasan.

Tiada seorang pun di dalam kereta api itu cedera dalam kejadian itu yang berlaku pada malam Sabtu, menurut para pegawai.

Lebih dari 22 juta penduduk di India berulang alik menggunakan kereta api yang menyediakan kira-kira 9,000 perjalanan setiap hari.

Sebuah video kejadian, yang dirakamkan dengan kamera telefon bimbit menunjukkan saksi menjerit ketika kereta api meluncur ke belakang selama setengah jam dan melepasi sebuah platform keretapi.

Pekerja yang digantung didakwa tidak mematuhi protokol dan siasatan telah dilancarkan, kata jurucakap kementerian kereta api, JP Mishra.

Para pegawai percaya bahawa brek yang biasanya digunakan apabila kereta terpisah digunakan secara salah atau berlaku lepas pandang.

"Suatu perkara yang dahsyat mungkin berlaku dan ia telah dicegah oleh kakitangan berjaga-jaga," kata Mishra.

Insiden seperti ini bukan luar biasa di India. Di seluruh negara, perkhidmatan kereta api membawa lebih dari 22 juta penumpang setiap hari, tetapi banyak peralatan sudah lama.

November lepas, sekumpulan petani India terkejut mengetahui kereta api yang mereka naiki telah bergerak sejauh 160km ke arah yang salah.

Pada Ogos 2017, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh apabila sebuah kereta api tergelincir di negeri utara Uttar Pradesh.

gerabak, kereta api

Artikel Lain