suria

Parkir lapangan terbang, tapi kereta dibiar tengah padang sejauh 18km

Beberapa keluarga terkandas dalam satu insiden di Lapangan Terbang Bristol. Foto sumber tidak diketahui/Mirror UK

SEBUAH keluarga yang membayar perkhidmatan valet untuk meletakkan kenderaan di lapangan terbang, sepanjang pergi bercuti dikejutkan dengan kenderaan mereka dibiarkan di tengah padang, sejauh kira-kira 18 kilometer.

Gavin Thomas, 37, terpaksa membayar ratusan pound untuk mencari kereta BMW miliknya dan membawa pulang keluarganya dengan selamat.

Mereka kembali ke Lapangan Terbang Bristol di Bristol, England pada pukul 1 pagi waktu tempatan selepas mengadakan lawatan ke Fuerteventura, Sepanyol.

Bagaimanapun, syarikat yang menyediakan perkhidmatan valet di lapangan terbang itu gagal untuk menjawab panggilan supaya kereta dikembalikan.

Akhirnya, Thomas diberitahu kunci keretanya hilang dan syarikat itu tidak mengetahui di mana ia diletakkan.

Menggunakan aplikasi menjejak, Thomas mencari keretanya dan menemuinya di sebuah padang di Weston Super Mare.

"Ia diletakkan di tengah padang, bersama sebuah kereta lain," katanya.

Bagaimanapun bapa kepada seorang anak itu terpaksa kembali ke lapangan terbang kerana tidak mempunyai kunci keretanya.

Kes yang dihadapi Thomas merupakan salah satu insiden yang alami pengguna lain di lapangan terbang itu.

Seorang kakitangan syarikat itu memberitahu para penumpang bahawa mereka tidak dapat memulakan kereta-kereta mereka kerana para pemandunya mogok.

Bercakap kepada Bristol Post, Lapangan Terbang Bristol memberithahu bahawa syarikat pengurusan parkir itu adalah persendirian dan tidak mempunyai kaitan dengan mereka.

Ketika ini, syarikat yang menyediakan perkhidmatan valet itu belum memberikan maklum balas berhubung kejadian. - Mirror UK

Artikel Lain