suria

13 Penduduk Pulau 'Kucing' Sukar Tampung Kos Pelihara 130 Kucing

PULAU Aoshima atau pulau kucing di Jepun sememangnya dikenali sebagai syurga bagi pencinta haiwan manja itu.

Malah, ramai pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung ke Pulau Aoshima bagi melihat sendiri 130 ekor kucing yang bebas berkeliaran di sana.

Kini, Persatuan Perlindungan Kucing Aoshima menyarankan agar haiwan itu dimandulkan bagi mengurangkan populasinya secara perlahan-lahan.

Ini kerana penduduk di pulau itu beranggapan jumlah kucing di sana semakin banyak dan tidak terkawal.

Pulau Aoshima didiami 130 kucing dan 13 penduduk yang rata-ratanya berusia lebih 75 tahun.

Menurut penduduk di situ, mereka tidak mampu untuk menampung jumlah kucing yang tinggal di pulau itu.

Malah, organisasi itu terpaksa memohon derma pada 2016 bagi menampung pembelian makanan kucing.

Persatuan itu juga mula menyarankan idea pemandulan kucing sejak Julai tahun lalu dan kini melancarkan tabung untuk melaksanakan projek itu.

Mereka juga bekerjasama dengan organisasi Dobutsu Kikin, badan kebajikan kucing yang berpangkalan di Hyogo bagi menjalankan operasi pemandulan kucing yang menelan belanja sekitar 400,000 yen (RM146,681).

Walaupun Pulau Aoshima sering dikunjungi pelancong, ia tidak mempunyai sebarang bentuk perniagaan.

Malah, tidak ada satu pun mesin jualan automatik (vending machine) di pulau itu.

Hal ini menyebabkan tiada aliran wang berlaku dan pulau itu tidak mempunyai sebarang pulangan untuk menampung kos pengurusan kucing di sana.

Dalam pada itu, satu jadual yang dicadangkan mengenai program pemandulan itu sudah siap dan ia dijangka dimulakan tidak lama lagi. - Yahoo! Japan News/Ehime Shimbun Online via Jin.



Aoshima, kucing

Artikel Lain