suria

Lima Bulan Di ICU, Akhirnya Yunice Pulang Bersama Aura Positif

SINGAPURA: Lapan bulan lalu, jabatan kecemasan Hospital Umum Ng Teng Fong (NTFGH) telah berjaya menyelamatkan bayi pra matang selepas ibunya yang sedang mengandung meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Ketika kejadian, doktor di hospital itu telah berusaha menyelamatkan bayi perempuan, Yunice menerusi pembedahan.

Pada Sabtu 27 Januari, bapanya, Dave Yuen, 26, tampil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan nyawa bayinya itu yang dianggap sebagai kejadian ajaib.

Tambah istimewa video itu ditayangkan pada majlis perasmian Persatuan Perubatan Kecemasan pada Mesyuarat Tahunan Saintifik Singpura 2018.

Kata Yuen: "Dengan adanya Yunice bersama di rumah, setiap saat bersamanya, melihatnya membuatkan saya gembira. Sesungguhnya dia membawa aura positif untuk kediaman kami."

Yuen telah kehilangan isterinya yang juga rakyat Malaysia, Goh Chieh Ting, 25 meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Jurong West Avenue 1 pada 13 Mei lalu.

Menerusi kenyataan hospital terlibat memaklumkan, pembedahan untuk menyelamatkan bayi dilakukan selepas pemeriksaan mendapati Chieh Ting mengalami kecederaan serius.

Bayi enam bulan ketika lahir itu terpaksa melalui proses rawatan selama dua bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) neo natal dan seterusnya di ICU untuk tiga bulan lagi sebelum dibenarkan pulang.


Yunice, Yuen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain