Tahanan Diraja Arab Saudi Dibenar Bawa Tukang Gunting - Dunia | mStar

Tahanan Diraja Arab Saudi Dibenar Bawa Tukang Gunting

Putera Al-Waleed selesa ditahan di sebuah hotel mewah sejak lebih dua bulan lalu dan akhirnya dibebaskan.

RIYADH: Bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal akhirnya dibebaskan daripada tahanan selepas ditahan lebih dua bulan lalu dalam operasi membanteras rasuah.

Menurut ahli keluarganya, pembebasannya dibuat beberapa jam selepas putera berkenaan memberitahu agensi berita Reuters dalam wawancara eksklusif di Hotel Ritz-Carlton, Riyadh.

Putera Al-Waleed memberitahu Reuters, beliau akan dilepaskan dalam masa terdekat tanpa sebarang pertuduhan.

“Beliau sudah berada di rumah,” kata seorang ahli keluarganya kepada Reuters.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan Arab Saudi belum mengulas mengenai pembebasan Putera Al-Waleed.

Bilionair itu ditahan di Hotel Ritz-Carlton sejak awal November 2017 bersama kira-kira 350 suspek lain sebagai sebahagian daripada rancangan berani Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mengukuhkan kuasa dan merombak ekonomi Arab Saudi.

Terdahulu dalam wawancara selama 30 minit itu juga Putera Al-Waleed berkata, beliau akan tetao menafikan pembabitannya dalam rasuah sepanjang rundingan dengan pihak berkuasa.

Malahan, kerabat diraja itu dijangka mengekalkan penguasaan ke atas firma pelaburan globalnya, Kingdom Holding Co. tanpa perlu menyerahkan aset kepada kerajaan Arab Saudi.

Menyifatkan penahanannya sebagai salah faham, Putera Al-Waleed menambah, beliau menyokong usaha pembaharuan Putera Salman.

“Tiada pendakwaan. Cuma ada beberapa perbincangan antara saya dan kerajaan.

“Saya percaya segalanya akan selesai dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Putera Al-Waleed adalah penyokong awal pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan di Arab Saudi dan usaha memansuhkan larangan memandu terhadap kaum Hawa.

Pada September 2017, Raja Salman menitahkan supaya larangan memandu itu dibatalkan tahun ini.

“Tiada apa yang hendak saya sembunyikan. Saya sungguh selesa. Saya sungguh tenang. Saya bercukur di sini seperti di rumah. Tukang gunting saya juga datang ke sini. Sejujurnya, saya berasa seperti berada di rumah.

“Saya beritahu kerajaan bahawa saya akan tinggal di sini selama mana yang mereka mahu kerana mahu menjelaskan sebarang persoalan,” kata putera berusia dalam lingkungan 60an itu.

Wawancara itu dirangka bagi menepis dakwaan Putera Al-Waleed yang menurut majalah For­bes memiliki kekayaan berjumlah AS$17 bilion (RM65.8 bilion) itu diberi layanan buruk dan dipindahkan ke sebuah penjara.

Menerusi Kingdom Holding, beliau memiliki kepentingan dalam beberapa firma utama seperti Twitter Inc dan Citigroup Inc, selain  melabur dalam hotel ternama termasuk George V di Paris dan Hotel Plaza di New York.

Putera itu sebelum ini dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Pada Jumaat juga, kerajaan Arab Saudi turut membebaskan sebilangan tahanan lain termasuk pemilik rangkaian televisyen MBC, Waleed Al-Ibrahim dan bekas ketua majlis diraja, Khaled Tuwaijri. – Reuters

Putera Al-Waleed

Artikel Sebelum

Tiga Remaja Mati Berpelukan

Artikel Berikut

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain