suria

Lelaki China Guna Hidung Isi Angin Tiub Tayar

BEIJING: Seorang lelaki di China mempamerkan kehebatan tersendiri apabila meniup tiub tayar kereta hanya menggunakan hidungnya.

Tong Junhai, 44, menunjukkan kemahirannya di Taman Huancheng dekat bandar Xi'an, barat daya China pada 25 Februari lalu dan aksinya itu mula tersebar sejak beberapa hari lalu.

Dalam rakaman itu, Junhai menggunakan paip yang disambung pada tiub tayar sebelum menghembuskan angin untuk menggunakan hidung.

Orang ramai yang melihat aksi tersebut kagum dengan kehebatan Junhai mengisi angin pada tiub tayar itu dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Menurut Junhai, dia boleh berbuat demikian kerana saiz paru-parunya yang besar, sekali gus boleh mengepam angin dengan banyak.

"Guru jasmani saya terkejut apabila mengetahui saya memiliki paru-paru yang besar.

"Apabila sudah tua, saya terfikir untuk melakukan aksi meniup tiub tayar menggunakan hidung seperti yang dilakukan segelintir orang.

"Saya sudah berlatih selama 10 tahun untuk membuat aksi ini," katanya menurut laporan MailOnline.

Walaupun dipertontonkan secara umum, namun ada seorang lelaki cuba mempertikaikan kemampuan Junhai dan mencuba sendiri meniup tiub berkenaan menggunakan mulut.

Namun lelaki berkenaan gagal untuk meniru aksi Junhai.

Artikel Lain