suria

Artikel 44 Tidak Perlu Untuk Tangani Konflik Selatan Thai

Prawit Wongsuwon

BANGKOK: Kerajaan menolak cadangan untuk mengguna pakai Artikel 44 yang memperuntukkan kuasa yang luas bagi menangani keganasan yang semakin meningkat akibat konflik yang berlarutan di selatan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwon yang juga Menteri Pertahananberkata, kerajaan telah menyediakan langkah-langkah yang mencukupi untukmengekang keganasan dan menyelesaikan konflik.

"Perintah darurat telah diisytiharkan dan juga "Kabinet Hadapan" telah ditubuhkan, jangan bimbang, ia mempunyai kuasa untuk melakukan segala-galanya," kata beliau kepada media di sini, Selasa.

Menurut beliau, "Kabinet Hadapan" yang diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Jen Udomdej Sitabutr terdiri daripada agensi-agensi kerajaan berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Tenaga Kerja.

Agensi kerajaan lain yang menganggotai Kabinet Hadapan ialah panel perundingan rundingan damai dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

Susulan insiden keganasan terbaharu di selatan Thailand minggu lepas, pihak-pihak tertentu di Bangkok mencadangkan supaya kerajaan menggunapakai Artikel 44.

Artikel 44 memberi kuasa yang amat luas kepada kerajaan untuk membendung isu-isu keselamatan.

Prawit berkata, kadang-kadang insiden di selatan Thailand adalah disebabkan konflik politik dan peribadi antara kumpulan-kumpulan yang bertelagah dan bukan disebabkan oleh isu keselamatan.

Beliau memberi contoh insiden berdarah di Rusak, Narathiwat minggu lepas apabila empat orang dari satu keluarga termasuk seorang budak lelaki berusia lapan tahun ditembak mati oleh beberapa lelaki bersenjata.

"Siasatan awal (mengenai insiden) mendapati bahawa kejadian mungkin berkaitan isu-isu politik tempatan kerana mangsa yang terbunuh ialah timbalan ketua kampung," katanya.

Siasatan oleh Tentera Wilayah Empat mengenai insiden tersebut masih dijalankan dan hasil siasatan akan diserahkan kepada beliau, katanya.

Prawit juga berkata, insiden di pasar malam yang sesak di Pattani minggulepas apabila tiga anggota keselamatan diserang hendap dan ditembak mati dari jarak dekat oleh sekumpulan lelaki bersenjata, juga kemungkinan berpunca daripada konflik peribadi.-Bernama

Artikel 44, Jen Prawit Wongsuwon

Artikel Lain