suria

Obama Sempat Salur Bantuan RM978 Juta Kepada Palestin

GAMBAR fail menunjukkan Obama (kanan) berjabat tangan dengan Abbas.

NEW YORK: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dilaporkan sempat menyalurkan bantuan sebanyak AS$221 juta (RM978 juta) kepada Palestin beberapa jam sebelum beliau melepaskan jawatan secara rasmi.

Menurut sumber dalaman kerajaan AS, Jabatan Negara memberikan bantuan itu kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

Wang tersebut yang disalurkan menerusi Agensi Pembangunan Antarabangsa AS, bertujuan untuk misi kemanusiaan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Selain itu, dana tersebut juga digunakan untuk tujuan pembangunan sekiranya penubuhan negara Palestin berjaya dilaksanakan.

Sebanyak AS$4 juta (RM17.17 juta) disalurkan bagi program perubahan iklim dan AS$1.25 juta (RM5.54 juta) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun beberapa laporan media AS mendakwa dana tersebut ditangguhkan selepas tidak mendapat kelulusan Kongres.

Ahli Kongres sebelum ini meluluskan dana kepada Palestin dalam bajet tahun 2015 dan 2016 tetapi dua ahli Ahli Kongres Kebangsaan Parti Republikan (GOP) iaitu Ed Royce dan Kay Granger telah menyekat tindakan itu dengan alasan Palestin cuba mendapatkan keahlian dalam PBB.

Sumber daripada pegawai dan pembantu tersebut tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan secara umum dan mereka meminta supaya nama tidak didedahkan.

Dana kepada Palestin sentiasa mencetuskan kemarahan kepada beberapa ahli Kongres termasuk pentadbiran Presiden baharu, Donald Trump di White House.

Beliau sebelum ini berjanji akan menjadi penyokong kuat kepada Israel dan telah menjemput Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk mengunjungi Washington bulan depan. – AP

Barack Obama, Palestin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Tolong Bunuh Anak-Anak Saya'

Artikel Lain