suria

Sri Lanka Lepasi Rekod Dunia Bina Pokok Krismas Tertinggi

COLOMBO: Sri Lanka berjaya melepasi rekod dunia bagi pembinaan pokok krismas tertinggi walaupun berhadapan kelewatan hingga menyebabkan penganjur terpaksa memendekkan hampir separuh daripada sasaran ketinggian asal.

Lagenda Kriket, Arjuna Ranatunga memulakan rancangan untuk membina pokok krismas bagi memecah rekod di Colombo namun ditentang sebuah gereja Katolik yang mengatakan bahawa lebih baik wang yang akan dibelanjakan digunakan untuk tujuan kebajikan.

"Susulan bantahan, ia menyebabkan kelewatan projek kira-kira 10 hari," kata penyelaras acara, Mangala Gunasekera kepada AFP.

"Sasaran kami ialah 100 meter (328 kaki), tetapi kelewatan pembinaan memaksa kami mengurangkan ketinggian," katanya.



Sehingga Sabtu, pokok itu siap dibina pada ketinggian kira-kira 57 meter (187 kaki) tinggi - dua meter lebih tinggi daripada pokok Krismas buatan yang dibina di Guangzhou, China tahun lepas.

Bagaimanapun angka yang diumumkan Sri Lanka adalah tertakluk kepada pengesahan oleh Guinness World Records.

Gunasekera berkata 600,000 mentol LED berwarna akan digunakan untuk menghiasi pokok itu, bersama-sama dengan enam meter (20 kaki) Santa dan 12 meter (40 kaki) kereta luncur salji.

"Pada malam Krismas, kami akan menghidupkan lampu," katanya.

Ranatunga, yang mengetuai Sri Lanka memenangi Piala Dunia 1996 berada di barisan hadapan dalam projek untuk mengumpul dana bagi pembinaan pokok tiruan sebagai simbol perpaduan agama.

Ketua biskop pada mulanya menyifatkan projek itu sebagai "perbelanjaan membazir" dan berkata bahawa anggaran $200,000 bagi kos itu sepatutnya dibelanjakan untuk mengurangkan kemiskinan.

Sri Lanka, Pokok Krismas, Krismas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain