suria

Lelaki Terkotor Eropah Meninggal Dunia

PRAGUE: Seorang lelaki yang digelar sebagai 'lelaki terkotor di Eropah' meninggal dunia di sebuah rumah ladang terbiar yang dihuninya sejak sekian lama.

Ludvik Dolezal, 60, menderita sakit jiwa sentiasa membuatkan dia membakar apa sahaja benda supaya dia dapat memegang dan tidur di atas abu.

Dia tinggal di sebuah rumah ladang terbiar di kampung Skrivany dekat utara Republik Czech.

Sepanjang hidupnya, Dolezal membakar tayar, plastik serta barangan peribadi miliknya untuk mendapatkan abu yang dijadikan sebagai tempat tidur selain disapu pada kulitnya.

Tindakannya itu membuatkan dia kelihatan hitam sepenuhnya kecuali pada bahagian mata, sekali gus mendapat jolokan sebagai lelaki paling kotor di Eropah.

Dolezal hidup dengan wang saraan yang diberikan oleh kerajaan tetapi dia tidak teragak-agak untuk membakar yang yang diterimanya.

Selain menerima wang, ketua kampung Skrivany menyediakan makanan kepada lelaki berkenaan pada setiap hari.

Namun baru-baru ini, ketua kampung berkenaan berasa hairan Dolezal tidak datang mengambil makanan selama beberapa hari.

Kemudian ketua kampung berkenaan menghubungi pekerja kesihatan untuk melakukan pemeriksaan ke atas Dolezal dan mereka menemukan mayat mangsa di rumah ladang terbabit.

Jurucakap polis, Lenka Buryskova berkata, laporan bedah siasatan akan mendedahkan punca sebenar kematian tetapi tiada unsur-unsur jenayah dikesan berhubung kematian Dolezal.

Pada 2012, Dolezal memberitahu, dia berpindah ke rumah ladang itu untuk menemani abang iparnya selepas dihukum penjara kerana kehilangan kad pengenalan.

Ibu bapanya telah lama meninggal dunia dan walaupun memiliki lapan beradik, dia tidak pernah menghubungi mereka.

Ludvik Dolezal

Artikel Berikut

Artikel Lain