suria

Hong Kong Bersedia Untuk Taufan Haima

-fotoREUTERS
HONG KONG: Taufan Haima bakal melanda Hong Kong pada Jumaat dengan anggaran kelajuan angin 145 kilometer sejam (86 batu sejam) di tengah-tengah bandaraya,  memaksa pihak berkuasa menutup semua perkhidmatan penting dalam hab kewangan global.

Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan amaran taufan isyarat 8, amaran kadar taufan yang tertinggi sehingga 10, apabila Haima melintasi bahagian utara Laut China Selatan selepas membadai Filipina.

"Menurut ramalan terkini, Haima akan tiba hampir dengan Hong Kong sekitar tengah hari, menyusur kira-kira 100 km (62 batu) di timur wilayah itu," kata balai cerap di laman webnya.

"Ini bermakna angin dengan kelajuan purata 63 kilometer sejam (40 batu sejam) atau lebih dijangka bertiup dari barat laut."

Penerbangan dan perkhidmatan kereta api keluar dan masuk bandar telah dibatalkan.

Apabila isyarat taufan 8 dikeluarkan, pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah akan ditutup, termasuk bank, operasi pelabuhan dan bursa saham Hong Kong.

Haima menyerang Hong Kong ketika ia baharu pulih daripada hujan lebat pada hari Rabu yang menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh kecil dan banjir setempat.
taufan Haima, Hong Kong

Artikel Lain