suria

Jakarta Sedia Rp80 Juta Program Basmi Tikus

PENTADBIRAN Jakarta memperuntukan Rp80 juta (AS$6,152) untuk menangani masalah pembiakan tikus terutama di kawasan pembetungan menerusi program pembasmian yang bermula tahun ini.

Dana berkenaan tersenarai dalam bajet umum kerajaan Pusat dan proses percubaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Timbalan Gabenor Jakarta, Djarot Saiful Hidayat.

Sebelum ini, Djarot menarik perhatian penduduk bandar itu apabila memaklumkan akan membayar Rp20,000 ganjaran bagi setiap tikus yang dihapuskan.

"Kami akan cuba melaksanakan program berkenaan tahun ini. Jika proses percubaan berjaya, ia akan diteruskan tahun depan.

"Program ini tidak memerlukan banyak wang, bayangkan dengan Rp80 juta, kami boleh menangkap 40,000 tikus. Ia satu jumlah yang besar," katanya kepada media pada Khamis.

Katanya, pentadbiran ibu negara Indonesia itu kini sedang menyiapkan mekanisme untuk melaksanakan program pembasmian itu.

"Sebaik ia bermula, program itu akan melibatkan pegawai di peringkat daerah, Penyelenggaraan Kemudahan Awam (PPSU) dan beberapa unit lain," katanya.

Beliau juga menggesa penduduk sekitar bandaraya itu supaya tampil membantu menghapuskan tikus di kawasan pembetungan menggunakan perangkap.

"Menerusi program ini, kegunaan senapang angin atau racun tidak dibenarkan untuk menangkap tikus," kata Djarot.

Tambahnya lagi, usaha menghapuskan tikus itu dilaksanakan kerana ia boleh membahayakan kesihatan penduduk di bandar itu.



Jakarta, Djarot Saiful Hidayat, tikus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain