suria

Lelaki Serang Balai Polis Setelah Ditegur Tampal Pelekat Daesh

JAKARTA:Lima pegawai polis termasuk Ketua Polis Seksyen Tangerang cedera apabila diserang oleh seorang lelaki dengan senjata tajam jenis golok dan pisau, di balai polis Tangerang dekat sini pagi Khamis.

Siaran berita televisyen memetik Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya Awi Setiyono sebagai berkata, dalam kejadian 8 pagi itu, polis telah menegur perbuatan seorang lelaki yang menampal pelekat Daesh di pos lalu lintas Yupentek, Cikokol di Tangerang.

Katanya, suspek berusia 22 tahun itu kemudiannya mengamuk di balai polis berkenaan dan menyerang Ketua Polis Seksyen Tangerang, Effendi dan empat anggota dengan senjata tajam.

Ketika kejadian, Effendi dan beberapa anggotanya sedang mengawal demonstrasi buruh di kota Tangerang dan tiba-tiba lelaki itu datang menyerang mereka, kata Awi.

Lelaki itu juga kemudiannya sempat melempar dua benda yang menyerupai bom tetapi tidak meletup sebelum rebah ditembak polis pada bahagian kaki dan pahanya.

Awi berkata kesemua mangsa dan suspek telah dimasukkan ke hospital dan polis turut merampas beberapa senjata termasuk pisau, badik, dua benda yang disyaki bom buatan sendiri yang diletakkan di pinggir jalan dan di pinggir sungai berhampiran.

Polis turut menemukan sebuah beg hitam yang mempunyai serban putih dan pelekat Daesh.

Awi berkata polis sedang menjalankan siasatan dan percaya lelaki itu adalah penyokong Daesh dan bertindak secara bersendirian.

Pada Januari lepas, sembilan orang termasuk empat suspek, dua anggota polis serta tiga orang awam maut dalam kejadian serangan bom di Pos Polis di Jalan MH Thamrin di sini.

Kumpulan Daesh itu kemudiannya mengaku mereka melakukan serangan tersebut.-- Bernama

Daesh, Tangerang, polis, Awi Setiyono

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain