suria

Rangkaian Hotel Jepun Masih Terima Pelancong Cina Selepas Tempat Duduk Tandas Diambil

HONG KONG: Sebuah hotel Jepun, hotel di mana sekeping tempat duduk tandas telah diambil oleh dua pelancong Cina sebelum ini, masih mengalu-alukan tetamu Cina yang lain.

Bagaimanapun pihak hotel sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan notis bagi menjelaskan sebarang keadaan luar biasa.

"Kami masih akan mengalu-alukan pelancong Cina seperti biasa walaupun selepas kejadian itu," kata seorang jurucakap bagi rangkaian hotel Toyoko Inn kepada South China Morning Post.

Beliau mengesahkan salah sebuah hotel rangkaiannya ada menghubungi seorang pemandu pelancong Cina selepas mendapati bahagian tempat duduk tandas yang diletakkan di hotel itu hilang pada pagi Selasa.

"Terdapat barang-barang kecil di hotel yang telah diambil oleh pelancong sebelum ini, tetapi jarang kita melihat objek besar diambil," katanya.

Berita itu tersebar selepas media Cina melaporkan kejadian itu, menyebabkan identiti pasangan yang mengambilnya dikesan.

Mereka kemudiannya memohon maaf dan menghantar kembali tempat duduk tandas itu melalui pos.

Jurucakap itu berkata, tempat duduk tandas baharu itu disimpan di bawah katil kerana hotel itu berada dalam proses baik pulih, dan pihak hotel akan mempertimbangkan untuk meletakkan notis pada masa akan datang dalam keadaan yang sama.

Biro Pelancongan Ningbo telah mengeluarkan kenyataan dalam akaun Weibo rasmi mereka pagi Khamis, berkata mereka telah menghubungi agensi pelancongan terlibat untuk menyiasat kejadian itu.

Kenyataan itu berkata biro itu akan meningkatkan 'pendidikan sebelum melancong' untuk pelancong dan menggesa kumpulan pelancongan ke luar menyediakan seorang penyelia bagi memastikan tingkah laku 'bertamadun' pelancong.

Pengurus dari Spring Tour berkata pasangan itu, dari Taizhou, sebuah bandar di wilayah timur Zhejiang, telah melancong dengan seorang anak berusia lima tahun, Qianjiang Evening News melaporkan.

Pasangan itu menjumpai tempat duduk tandas itu di bawah katil apabila cuba untuk menggabung katil, pengurus dipetik sebagai berkata.

Pasangan itu kemudian meletakkan tempat duduk tandas dalam bagasi mereka, kerana menyangka ia telah ditinggalkan oleh pengunjung sebelumnya, kata laporan itu.

tempat duduk tandas, Toyoko Inn

Artikel Berikut

Artikel Lain