suria

Seksa Rakan Sekolah Selama Empat Jam Akibat Cemburu

RIO DE JANEIRO: Gara-gara cemburu, empat pelajar perempuan di Brazil ditahan selepas didakwa menyeksa dan mahu membunuh seorang rakan mereka.

Kesemua pelajar itu yang berusia antara 13 dan 16 tahun, menyeksa mangsa mereka yang berusia 14 tahun selama hampir empat jam sambil merakamkan aksi kejam tersebut menggunakan telefon bimbit.

Mangsa yang tidak dinamakan, dipukul dengan menggunakan sebatang kayu di bahagian kepala dan badan selain diheret ke dalam sebuah lubang yang dipercayai digali oleh pembulinya di Trindade dekat Goias, tengah Brazil, baru-baru ini.

Malah kelihatan seorang daripada pembuli itu memegang sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Bagaimanapun, remaja yang cedera itu berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan penduduk tempatan ketika kesemua pembulinya sibuk membasuh tangan yang dipenuhi darah.

Siasatan awal polis mendapati keempat-empat pelajar terbabit mahu membunuh mangsa yang dipercayai merampas kekasih seorang daripada suspek.

Menurut mangsa, dia diperdaya oleh kesemua pembuli tersebut untuk menghadiri sebuah parti yang diadakan di kawasan taman rumah mereka.

"Apabila saya tiba di sana, mereka terus memukul dan mengikat saya selain menunjukkan tempat untuk menanam saya," katanya.

Ketua polis tempatan, Renata Vieira berkata, kejadian itu berpunca akibat perasaan cemburu kerana mangsa berjumpa dengan seorang daripada kekasih suspek.

"Kesemua suspek dan mangsa belajar di sekolah sama dan ada antaranya saling mengenali sejak 10 tahun lalu," katanya.

Kesemua suspek berdepan tuduhan melakukan penyeksaan dan cubaan membunuh tetapi disebabkan faktor di bawah usia, mereka dijangka dihantar ke pusat pemulihan akhlak selama tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Brazil, Seksa

Artikel Berikut

Artikel Lain