suria

Rakyat Malaysia Didakwa Kes Rampasan Syabu RM823 Juta Di Australia

SYDNEY: Rakyat Malaysia antara lapan lelaki yang didakwa berhubung kes rampasan dadah jenis syabu bernilai A$275 juta (RM823 juta) di Australia.

Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan mengesan sejumlah 275 kilogram (kg) syabu dalam bentuk kristal di bawah lantai sebuah kontena selepas menerima maklumat awam.

Susulan itu, siasatan pihak berkuasa membawa kepada penangkapan tujuh warga Australia dan seorang rakyat Malaysia.

Semua suspek kes berkenaan berusia antara 24 hingga 34 tahun.

“Tiga daripada mereka didakwa atas kesalahan mengimport dadah dan lima yang lain dituduh kerana cuba mengedar syabu dalam kuantiti yang besar,” kata jabatan itu.

Jika bersabit kesalahan, semua tertuduh itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Polis Australia berkata, pihaknya bekerjasama dengan China dalam kes berkenaan.

Tangkapan suspek dibuat selepas 14 anggota sindiket dadah antarabangsa yang disyaki terdiri daripada lapan rakyat China dan enam warga Malaysia didakwa di Australia pada Mei lalu berhubung rampasan syabu bernilai lebih A$200 juta (RM599 juta).

Sementara itu, Penolong Pesuruhjaya Polis Victoria, Stephen Fontana berkata, permintaan untuk dadah haram itu semakin tinggi di pasaran negara itu, sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa membanterasnya. – AFP





syabu, Australia, Malaysia

Artikel Lain