suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Waris dua mangsa nahas helikopter terima faedah Perkeso

Perkeso menyerahkan FPM kepada balu juruterbang, Nor Izzati Syamimi (kiri) dan suami pegawai perubatan, Muhammad Faiz (kanan) pada Rabu.

WARIS kepada dua daripada lima mangsa yang maut dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Miri, Sarawak pada Selasa layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, dua mangsa berkenaan ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33.

Menurutnya, sebaik menerima makluman mengenai nahas itu, Skuad Perkeso Prihatin segera mendapatkan maklumat mangsa bagi mengenal pasti kelayakan faedah yang boleh disalurkan kepada waris.

"Hasil semakan Perkeso mengesahkan waris kepada juruterbang helikopter, Kapten Zainol Afiq layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM5,355 sebulan.

"Balunya, Nor Izzati Syamimi Suhaimi, 31, layak menerima faedah berkenaan secara bulanan untuk seumur hidup dengan syer berjumlah RM3,213.

"Dua anaknya yang berumur satu dan lima tahun pula layak menerima faedah sama berjumlah RM2,142 sebulan sehingga mereka berusia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, suami kepada Dr Ainul Baraah, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.

Beliau juga akan menerima Faedah Pencen Penakat yang dianggarkan berjumlah RM1,574.10 sebulan untuk seumur hidup berdasarkan syernya.

Ramanan memberi jaminan Perkeso akan segera menyalurkan bantuan berkenaan bagi memastikan kelangsungan hidup waris mangsa terus terjamin.

Menurutnya, Skuad Perkeso Prihatin sudah membuat pembayaran FPM kepada waris kedua-dua pencarum pada Rabu, selain bertemu keluarga mangsa pada Khamis bagi membantu menguruskan proses tuntutan faedah.

Dalam pada itu, semakan mendapati tiga lagi mangsa yang maut dalam nahas berkenaan tidak mempunyai rekod caruman dengan Perkeso.

"Bagaimanapun, Perkeso akan merujuk kes tersebut ke platform Social Synergy sekiranya terdapat bantuan lain yang boleh diterima daripada agensi lain.

"Saya dan seluruh warga Kementerian Sumber Manusia serta Perkeso menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

"Semoga keluarga kekal tabah dan kuat untuk menghadapi ujian ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) maut selepas helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang dinaiki mereka terhempas berhampiran STOLport Long Lellang pada petang Selasa.

Artikel Lain