suria

Pengeboman Bunuh Diri Di Balai Polis Di Solo

-fotoEPA
JAKARTA: Seorang pengebom berani mati yang menunggang sebuah motosikal menyerang sebuah balai polis di bandar Solo di Indonesia, pada Selasa, mengakibatkan seorang pegawai cedera, menurut seorang pegawai.

Penyerang cuba untuk masuk ke perkarangan stesen di bandar di pulau Jawa itu pada pukul 7.35 pagi, kata jurucakap polis, Boy Rafli Amar.

"Dia bertekak mahu masuk untuk pergi ke kantin. Dia terpaksa meredah masuk menggunakan motosikal dan meletupkan dirinya," kata jurucakap itu kepada stesen televisyen Metro TV

"Maklumat menyatakan pelakunya telah meninggal dunia."

Menurut maklumat awal, seorang anggota polis mengalami kecederaan, katanya.

Pada Januari, pengeboman berani mati dan serangan bersenjata di Jakarta menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati, dalam serangan utama pertama di Indonesia sejak tujuh tahun lalu.

Indonesia, negara majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia, telah mengalami beberapa serangan pelampau Islam sejak 15 tahun lalu, termasuk pengeboman di Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Tindakan tegas bagaimanapun telah melemahkan rangkaian paling berbahaya itu, sehinggalah kemunculan kumpulan Negara Islam (IS).

Beratus-ratus rakyat Indonesia telah mengembara ke Timur Tengah untuk menyertai jihad, sambil mencetuskan kebimbangan bahawa kumpulan pelampau sedang dihidupkan semula.

Artikel Sebelum

Artikel Lain