suria

Suspek Serangan Brussels Ditahan Bersama Empat Yang Lain

Mohamed Abrini.

SUSPEK serangan di Paris, Mohamed Abrini, ditahan bersama-sama empat yang lain dalam satu serbuan pada Jumaat.

Serbuan itu dipercayai dilakukan untuk menjejaki suspek yang ada kaitan dengan pengeboman di lapangan terbang dan stesen kereta api bawah tanah di ibu negara Belgium, bulan lalu.

Malah, penangkapan itu merupakan langkah penting dalam siasatan terhadap kumpulan yang dipercayai melancarkan serangan di Paris pada 13 November tahun lalu dan pengeboman pada 22 Mac lalu yang meragut 32 nyawa di Brussels.

Rangkaian militan IS yang menawan sebahagian besar Syria dan Iraq mendakwa bertanggungjawab melancarkan kedua-dua serangan itu.

"Mohamed Abrini ditangkap di Anderlecht, kawasan penempatan di Brussels," kata jurucakap pejabat pendakwa raya persekutuan.

Abrini, 31, antara individu yang paling dikehendaki di Eropah dan dianggap sebagai berbahaya dan memiliki senjata.

Menurut jurucakap itu, Abrini ditahan bersama-sama dua lagi yang identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Stesen televisyen RTL menunjukkan rakaman yang dipercayai penangkapan Abrini, dengan seorang lelaki dijatuhkan ke kaki lima oleh anggota polis berpakaian awam memakai topeng.

Kesemua mereka kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah kereta awam berwarna kelabu. 


Artikel Lain