suria

Nahas Pesawat Rusia: Beberapa Syarikat Penerbangan Enggan Terbang Di Sinai

Bangkai pesawat penumpang Rusia, Metrojet yang terhempas di Sinai, Mesir pada Sabtu. Foto Reuters

TRAGEDI pesawat penumpang Rusia yang terhempas di Mesir pada Sabtu menyebabkan beberapa syarikat penerbangan utama mengambil keputusan untuk tidak menggunakan laluan di Sinai yang merupakan lokasi nahas.

Dua syarikat penerbangan terbesar di Eropah antara yang memutuskan perkara itu selepas tragedi mengorbankan seramai 224 orang.

Lufthansa dan Air France-KLM berkata, mereka tidak akan melakukan penerbangan di Semenanjung Sinai sementara menunggu penjelasan berhubung punca nahas.

British Airways berkata, ia akan terus membuat penerbangan merentasi kawasan itu, walaupun akhbar United Kingdom (UK), The Sun pada Ahad mendakwa syarikat itu secara berahsia memberitahu juruterbang untuk tidak terbang rendah di ruang udara Mesir.

Keadaan itu susulan sebuah kumpulan militan yang bergabung dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) di wilayah Sinai, Mesir berkata, ia telah menyebabkan pesawat tersebut 'terhempas' sebagai 'tindak balas ke atas serangan udara Rusia yang mengorbankan ratusan orang Islam di bumi Syria", dan penyebaran dakwaan menerusi video yang menunjukkan sebuah pesawat terbakar.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Rusia memberitahu agensi berita Interfax bahawa dakwaan itu "tidak boleh dianggap tepat' apabila pasukan penyiasat Mesir memaklumkan bahawa petunjuk awal melihat masalah teknikal sebagai punca nahas.

Ia turut memaklumkan bahawa pembantu juruterbang bagi penerbangan KFL-9268 itu telah membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan pesawat sebelum berlepas.

Media Rusia melaporkan isteri kepada pembantu juruterbang Sergei Truckahev berkata, suaminya menghubungi anak perempuannya untuk memberitahu bahawa "keadaan teknikal pesawat mengalami masalah". 

Pesawat Airbus A321 yang dikendalikan oleh syarikat Rusia, Kogalymavia di bawah jenama Metrojet terhempas di tengah Sinai semasa penerbangannya dari Sharm el-Sheikh ke St Petersburg pada Sabtu. - Mirror

Sinai, Metrojet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain