suria

Indonesia Jangka Jerebu Berakhir Bulan Depan

JAKARTA: Masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran ladang dan hutan di Indonesia, dijangka berakhir dalam tempoh sebulan lagi apabila negara itu mula mengalami musim hujan.

Ketua Agensi Pengurusan Bencara Negara (BPNP), Willem Rampangile dipetik oleh media-media tempatan sebagai berkata dengan peralihan cuaca itu, ia sekali gus memadamkan api dalam tanah gambut dan menghilangkan jerebu yang turut melanda Malaysia dan Singapura sejak dua bulan lepas.

Katanya, jerebu di Sumatera juga mula berkurangan sekarang ekoran beberapa kawasan wilayah itu termasuk di Riau mula menerima hujan sejak dua hari lepas.

Musim hujan, yang dijangka bermula pada hujung Oktober atau awal November ini, dapat membantu kerja-kerja pemadaman api di kawasan berkenaan.

"Cabaran terbesar dalam menangani kebakaran hutan dan tanah pertanian kali ini ialah kebakaran di tanah gambut dan cuaca kering. Jika air terhad, ia menimbulkan asap di tanah-tanah gambut yang terbakar. Saya harap dalam sebulan lagi ia akan selesai, (pada) akhir Oktober atau awal November," katanya.

Menurut laman web Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika pula bacaan IPU di Palangkaraya di Kalamtan Tengah masih di tahap berbahaya manakala di Jambi dan Palembang pula kekal di tahap sangat tidak sihat. 

Bacaan IPU di Palangkaraya adalah lebih 1,300 sejak 3 petang Jumaat dan masih belum menurun setakat 6 petang ini.

Keadaan jerebu di Palangkaraya telah melumpuhkan semua aktiviti harian masyarakat dan semua sekolah ditutup sejak Isnin lepas setelah kawasan itu diisytiharkan darurat jerebu.

Jambi pula mencatatkan bacaan IPU sehingga 1,000 pada awal pagi Jumaat sebelum menurun kepada 552 pada 6 petang manakala di Palembang pula, bacaan IPU pada pagi ialah 673 sebelum menurun kepada 315 pada 6 petang. - Bernama

jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain