suria

Jerebu: Indonesia Ada Sumber Mencukupi, Tolak Tawaran Bantuan Singapura

SINGAPURA: Indonesia menjelaskan pada mesyuarat antara pegawai kedua-dua negara yang ia mempunyai sumber mencukupi untuk menangani jerebu dan sehubungan itu buat masa ini tidak perlu menerima bantuan ditawarkan Singapura.

Menjawab soalan pemberita berhubung lawatan pegawai Singapura ke Jakarta untuk membincangkan isu berkaitan jerebu, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air (MEWR) menyatakan pasukan pegawai Singapura diketuai Setiausaha Tetap MEWR Choi Shing Kwok, mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinasi Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia Jen (B) Luhut Binsar Pandjaitan dan Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional Willem Rampangilei di Jakarta pada Khamis.

Mesyuarat itu diadakan atas undangan pihak Indonesia. 

Delegasi Singapura diberi taklimat oleh pihak Indonesia tentang langkah sedang diambil oleh kerajaan Indonesia di Sumatera dan Kalimantan untuk menangani kebakaran tanah gambut dan hutan yang menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan di Singapura dan rantau ini.

Dalam konteks taklimat itu yang disusuli perbincangan, MEWR berkata, Singapura mengulangi dan menjelaskan tentang bantuan ditawarkan untuk memadamkan kebakaran termasuk menyediakan sebuah helikopter Chinook untuk menjalankan pemadaman api dari udara dan sebuah pesawat C-130 untuk operasi pembenihan awan.

Katanya, Indonesia menjelaskan pada mesyuarat itu ia mempunyai sumber mencukupi dan tidak perlu menerima bantuan ditawarkan Singapura buat masa ini.

Mesyuarat itu juga membincangkan langkah penguatkuasaan undang-undang diambil Indonesia terhadap syarikat degil, dan Singapura menjelaskan bagaimana Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan membolehkan negara pulau itu mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan di Singapura bagi melengkapi tindakan Indonesia, dan pada masa sama menghormati kedaulatan Indonesia.

Singapura turut menjelaskan permintaannya agar Indonesia berkongsi maklumat yang boleh membantu mengenal pasti syarikat disyaki menyebabkan kebakaran itu.

Ini dipertimbangkan oleh pihak Indonesia yang akan memberikan respons sewajarnya, kata MEWR.

Singapura diselubungi jerebu sejak beberapa minggu lepas sehingga kerajaan terpaksa menutup semua sekolah apabila kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat pada 25 September.

jerebu

Artikel Lain