suria

Letupan Bangkok: Mahkamah Thailand Keluar Waran Tangkap

BANGKOK: Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok pada Rabu mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang warga asing yang disyaki meletupkan bom di daerah komersial Ratchaprasong di sini pada Isnin malam.

Ketua Polis Balai Polis Lumpini Lt Kol Somkiet Ploytabtim, yang juga pegawai penyiasat, memohon waran tangkap itu tengah hari tadi.

Suspek masih belum dikenal pasti dan ciri-ciri lelaki itu adalah berdasarkan lakaran polis yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini, menurut permohonan tiga muka surat bagi waran tangkap itu.

Terdahulu, jurucakap polis Lt Jen Prawut Thavornsiri memberitahu pemberita, suspek merupakan lelaki memakai kemeja kuning bersama-sama sebuah beg galas yang dirakamkan CCTV dan beredar dari tempat kejadian beberapa saat kemudian sebelum letupan itu berlaku.

Letupan itu berlaku berhampiran kuil Erawan yang menempatkan dewa Hindu, Brahma, popular bukan sahaja dalam kalangan penganut Hindu tetapi juga penganut Buddha di Thailand dan negara-negara lain.

"Polis telah memperoleh imej suspek yang lebih jelas daripada yang dikeluarkan kepada awam sebelum ini," kata Prawut.

"Kami percaya lelaki itu tidak bertindak sendirian dan menerima bantuan daripada seseorang."

Beliau berkata saksi utama ialah pemandu teksi bermotor yang membawa suspek dari kawasan itu ke kawasan lain di Bangkok.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Pol Jen Somyot Pumpanmuang mengumumkan kerajaan menawarkan ganjaran satu juta baht (RM100,000) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek.

Beliau menjangkakan ganjaran itu akan meningkat dengan sumbangan daripada beberapa orang awam.

Polis masih belum mengenal pasti suspek dalam satu lagi kejadian letupan bom, dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan yang banyak terdapat di sekitar Bangkok.

Kalangan pegawai keselamatan berkata beberapa orang yang kebetulan turut memakai kemeja serupa ketika berlakunya letupan itu, ada antaranya turut cedera, telah disoal siasat dan kemudian dilepaskan.

Prawut berkata polis akan melakukan pemeriksaan, antara lain di kawasan-kawasan perumahan warga asing, kompleks beli-belah dan kawasan tumpuan pelancong, untuk mencari suspek, dan pada masa sama turut memastikan keselamatan warga asing.

Bangkok

Artikel Lain