suria

Bom: Batal Acara Atas Faktor Keselamatan

Pasukan keselamatan Thailand sedang menjalankan pemeriksaan rapi di kawasan letupan.

BANGKOK: Letupan bom di persimpangan Ratchaprasong di sini pada Isnin memberi kesan terhadap sektor perniagaan Thailand apabila beberapa acara yang sepatutnya dianjurkan terpaksa dibatalkan.

Lembaga Pelancongan Singapura (Thailand) pada Selasa membatalkan sesi menemubual pegawai kanannya berkaitan kerjasama negara Asean untuk pembangunan pelancongan di rantau ini.

Selain itu, pelancaran rasmi premis terbaharu Asics, jenama terkemuka Jepun di Mega Bangna juga ditangguhkan. Penganjur dikatakan bimbang keselamatan semua pihak yang hadir pada majlis itu.

Turut dibatalkan adalah sidang media Pay Social, platform berbayar pertama di Asia. Media sosial secara dalam talian ini sepatutnya diadakan di Hotel V yang terletak di kawasan Rajthevi.

Sementara itu, Bank TMB cawangan Ratchaprasong pula ditutup selepas cermin bangunan itu berkecai akibat letupan itu. Premis ini terletak berhampiran ibu pejabat Polis Diraja Thai di Jalan Rama 1.

Pihak pengurusan bank itu menggesa pelanggannya menggunakan perkhidmatan di cawangan lain yang berdekatan seperti CentralWorld, Siam Paragon dan Siam Square.

Turut menunda acara yang dikenali sebagai "The BM Party" adalah Total Access Communication (DTAC) yang sepatutnya berlangsung Rabu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, majlis itu dikatakan membabitkan tokoh perniagaan dan selebriti hiburan.

Meninjau pasaran saham Thailand, didapati niaga Hotel Central Plaza merudum 13 peratus daripada pendapatannya bagi sektor hartanah di sini.

Harga sahamnya jatuh 12.58 peratus pada akhir dagangan pada Selasa.

Syarikat lain yang bergantung kepada sektor pelancongan juga turu mengalami kerugian, termasuk hotel, penerbangan dan segmen lapangan terbang.

Asia Aviation yang juga pemegang saham utama AirAsia Thai turut kerugian 9.17 peratus, manakala Minor International pula turun 7.06 peratus.

bom, Bangkok

Artikel Lain