suria

Mayat Warga Malaysia Terbunuh Di Bangkok Dibawa Pulang Pada Rabu

BANGKOK: Mayat empat rakyat Malaysia yang terbunuh dalam letupan bom di Bangkok lewat petang Isnin akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Pulau Pinang malam Rabu.

Mayat mereka akan diterbangkan dengan pesawat Thai Airways TG425 pada 7.45 malam dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi dengan diiringi anggota keluarga masing-masing, kata seorang pegawai kedutaan Malaysia di sini, Rabu.

Mangsa adalah daripada satu keluarga yang bercuti di Bangkok dalam kumpulan tujuh orang.

Mereka ialah Lim Su Gaik, 49, Lee Chee Siang, 35, Lee Jing Sian, 4, dan Neoh Kah Chun, 20.

Mereka adalah antara 20 orang yang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom di persimpangan Ratchaprasong, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.

Erawan Emergency Services, yang mengumpul perangkaan daripada beberapa hospital sekitar Bangkok, berkata daripada 123 yang cedera, 68 masih dirawat di beberapa hospital di ibu negara Thailand ini.

Mereka yang cedera sebenarnya berjumlah 123 orang, bukan 125 seperti yang dilaporkan sebelum ini kerana terdapat pertindihan nama.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan dari Kelantan yang tercedera dalam kejadian itu, Tan Rui Hun, 29, dijangka dibenarkan keluar dari hospital esok.

Isterinya, Teo Khaei Ling, 27, memberitahu Bernama mereka akan pulang ke tanah air esok selepas Tan dibenarkan keluar dari hospital.

Teo berpuas hati dengan bantuan yang diberi kedutaan Malaysia di Bangkok, termasuk berkaitan penginapan di hotel dan urusan tempahan tiket kapal terbang untuk keluarganya.

Tan ke Bangkok bersama isteri dan ibu mentuanya untuk bercuti selama empat hari. Dalam kejadian itu, ibu mentuanya, Tan Kim Siok cedera ringan di dahi.

Mereka sepatutnya pulang ke tanah air pada Selasa.

Sementara itu, polis Thailand masih mencari seorang suspek berbaju kuning, yang menurut rakaman CCTV, meninggalkan satu beg galas di tempat kejadian sebelum berlaku letupan itu.

Bangkok, Letupan

Artikel Berikut

Artikel Lain