suria

Serangan Di Tunisia: Mangsa Warga British, IS Bertanggungjawab



TUNIS: Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid berkata kebanyakan mangsa yang terkorban akibat serangan di pusat peranginan Tunisia yang didakwa dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) terdiri daripada warga British.

"Sebahagian besar mangsa yang terkorban merupakan warga British dan terdapat juga warga Jerman, Belgium dan Perancis, serta beberapa negara lain lagi," kata Habib.

Habib juga menjelaskan jumlah kematian sebenar daripada 39 kepada 38 selepas pihak Kementerian Kesihatan menjelaskan sebelum ini bahawa jumlah 39 kematian tersebut adalah termasuk individu yang membuat serangan di pusat peranginan popular di Pelabuhan El Kantaoui yang turut terkorban.

Beliau memberitahu, tentera simpanan akan dipanggil untuk mengukuhkan keselamatan di beberapa kawasan penting serta tempat-tempat yang menjadi sasaran serangan pengganas selepas pembunuhan beramai-ramai yang berlaku untuk kali kedua pada tahun ini.

Rancangan ini dibuat untuk menjaga keselamatan pelancong serta tapak arkeologi dengan menempatkan tentera keselamatan sepanjang pantai dan juga di dalam hotel bermula 1 Julai.

Habib turut mengumumkan bahawa sebuah kongres anti keganasan akan diadakan pada September dan ganjaran kewangan akan diberikan kepada sesiapa yang tampil dengan maklumat yang membawa kepada penangkapan mana-mana pengganas.

British, Tunisia

Artikel Lain