suria

Korban Panas Melampau Pakistan Cecah Lebih 1,000

Pengebumian mangsa strok haba dilakukan secara beramai-ramai di bandar Karachi.

KARACHI: Angka korban akibat suhu melampau yang melanda Pakistan kini mencecah 1,000 dan pihak berkuasa menjangka jumlah itu akan meningkat dalam masa terdekat.

Rumah mayat dan penggali kubur di Karachi - bandar terbesar dan hab ekonomi Pakistan - tidak menang tangan dengan jumlah mayat yang semakin bertambah sejak suhu panas luar biasa melanda hujung minggu lalu.

Hospital juga berdepan dengan krisis sementara pusat rawatan strok haba didirikan di sekitar bandar itu untuk merawat puluhan ribu penduduk yang terkesan.

Jurucakap badan kebajikan terbesar Pakistan Yayasan Edhi, Anwar Kazmi berkata: “Jumlah kematian menjangkau 1,000 dan dijangka meningkat sehingga 1,500.”

Sementara itu, awan dan suhu lebih rendah di Karachi membawa sedikit kelegaan kepada penduduk di bandar yang paling teruk mengalami fenomena itu.

Berdasarkan pemeriksaan AFP di hospital sekitar Karachi, 1,079 dipercayai mati akibat gelombang haba itu.

Hospital di Karachi merawat hampir 80,000 orang setakat ini.

Selepas beberapa hari mengalami cuaca lebih 40 darjah Celsius, tiupan angin laut dan kehadiran awan mengurangkan sedikit kepanasan di bandar pelabuhan itu sejak dua hari lalu.

Jabatan Kaji Cuaca meramalkan suhu sekitar 34 darjah Celsius semalam dengan 75 peratus ruang udara bandar raya itu dilitupi awan.

Pakistan, strok haba, Anwar Kazmi

Artikel Lain