suria

Anggota IS 'Guna' Pendatang Asing Masuk Britain

Pendatang asing bersembunyi dalam lori untuk melintasi sempadan ke Britain.

ANGGOTA kumpulan militan Negara Islam (IS) terutama di kalangan warga Britain disyaki mengambil kesempatan isu kebanjiran pendatang asing di Calais, Perancis untuk menyelinap masuk ke negara asal mereka.

Anggota IS dari Timur Tengah dikatakan bersembunyi di kalangan beribu-ribu pelarian yang cuba masuk ke Britain dengan menaiki lori.

Sebelum ini, cara sama digunakan kumpulan militan IS untuk memasuki negara berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Sir Bernard Hogan-Howe mengakui ia situasi membimbangkan pihak keselamatan negera itu.

"Kebanyakan yang menyelinap masuk secara haram adalah ahli kumpulan IS dari Britain yang mahu pulang ke negara asal dan cuba mengelak daripada dikesan pihak keselamatan," katanya.

Selain itu, ada dikalangan mereka yang bersembunyi di kalangan pendatang haram untuk keluar dari Britain dan menuju ke Syria.

Lebih 3,000 pendatang ditempatkan di kem sementara dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 5,000 pendatang pada akhir musim panas ini.

Pendatang asing melarikan diri sebaik dikesan pihak berkuasa Perancis bersembunyi dalam lori yang menuju sempadan untuk ke Britain.

Pihak keselamatan di Calais kini perlu berjaga-jaga berikutan keadaan huru-hara yang tercetus akibat pekerja feri Perancis yang mogok.

Deretan lori yang menunggu untuk dibenarkan masuk ke Britain juga dikerumuni pendatang haram, menyebabkan  polis Perancis melakukan kawalan ketat di kawasan pelabuhan negara itu.

Setakat ini, polis Perancis telah menahan 350 pendatang haram yang cuba bersembunyi di dalam kereta dan lori.

Seorang lelaki warga Syria yang mahu dikenali sebagai Yazan berkata, dia mahukan kehidupan yang lebih baik di England dan akan melakukan apa sahaja untuk memenuhi hasratnya itu.

"Saya datang ke sini melalui Turki dan Greece sebelum tinggal di kawasan hutan di Calais.

"Situasi di sini tidak begitu baik tetapi keadaan di Syria lebih teruk sehingga rumah kami dimusnahkan menggunakan senjata nuklear," kata Yazan, 20.

Seorang pemandu lori, Martin Szczygielski, 33, berkata kebanyakan pemandu lori diugut dan didenda jika dikesan membawa pendatang haram melepasi sempadan.

IS, Britain, Syria

Artikel Sebelum

Artikel Lain