suria

Pengebom Maraton Boston Dihukum Mati

Lakaran artis menunjukkan riak wajah Dzhokhar Tsarnaev ketika hakim menjatuhi hukuman mati ke atasnya atas kesalahan bersubahat dengan abangnya Tamerlan merancang pembunuhan beramai-ramai di Boston, Amerika Syarikat dua tahun lalu.

BOSTON (Amerika Syarikat): Mahkamah Persekutuan Amerika secara rasminya pada Rabu mengisytiharkan hukuman mati ke atas pengebom acara maraton Boston 2013, Dzhokhar Tsarnaev - sekaligus menamatkan perbicaraan yang berlangsung selama dua tahun itu.

Tsarnaev, 21, telahpun didapati bersalah di atas 30 pertuduhan April lalu dan para juri mengesyorkan hukuman mati dengan cara suntikan dikenakan ke atasnya pada Mei.

Pada Rabu, hakim George O'Toole secara rasminya mengisytiharkan hukuman tersebut.

Dalam insiden pada 2013 itu, tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun terbunuh apabila bom jangka buatan sendiri diletupkan menggunakan telefon bimbit oleh dua orang bersaudara iaitu Dzhokhar Tsarnaev  dan abangnya Tamerlan.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Krystle Campbell, 29, Lingzi Lu, 23, dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun Martin Richard.

Letupan itu turut mencederakan 260 orang lagi, termasuk 18 orang yang kehilangan sekurang-kurangnya sebelah kaki.

Kedua-dua bersaudara itu kemudiannya berjaya melepaskan diri dan menyembunyikan diri di kawasan kampus Institut Teknologi Massachusetts (MIT). Di situ mereka menembak mati pegawai polis kampus, Sean Collier.

Abang Dzhokhar, Tamerlan kemudian menemui ajal selepas dia secara tidak sengaja dilanggar oleh Dzhokhar sendiri yang cuba melarikan diri dari kawasan Massachusetts menggunakan kenderaan curi.

Tsarnaev bersaudara adalah dari etnik Chechen - menetap, bersekolah dan memasuki kolej di Amerika.

Keluarga mereka berhijrah ke Amerika atas tiket perlindungan politik apabila Chechnya terlibat dalam peperangan menuntut kemerdekaan dari Rusia.

Sementara itu rekod menunjukkan, sejak hukuman mati diperkenalkan semula oleh undang-undang persekutuan Amerika pada 1988, hanya terdapat tiga orang sahaja telah menjalani hukuman tersebut dan ini termasuklah banduan paling popular Timothy McVeigh yang bertanggungjawab mengebom bangunan kerajaan persekutuan di bandar Oklahoma pada 19 April 1995.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain