suria

Rasuah: Gabenor Riau Dipenjara Enam Tahun, Denda Hampir RM60,000

Annas dibawa ke penjara selepas dikenakan hukuman enam tahun penjara dan denda oleh Mahkamah Rasuah Bandung.

BANDUNG: Gabenor Riau, Annas Maamun dihukum penjara enam tahun dan denda Rp200 juta (RM56,412) selepas didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah.

Ketua panel hakim Mahkamah Rasuah Bandung, Barita Lumban Gaol membacakan hukuman yang dikenakan kepada tertuduh.

“Sebagai pemimpin, tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya.

Annas didapati bersalah menerima wang Rp500 juta (RM141,030) dan AS$166,100 (RM624,262) dari ahli perniagaan Gulat Medali Emas Manurung.

Wang yang diterima daripada Gulat yang juga Pengerusi Persatuan Peladang Kelapa Sawit Indonesia ialah untuk membolehkan dia menukar status lebih 2,000 hektar tanah kepada zon bukan hutan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia menahan Annas, Gulat dan tujuh lagi termasuk isterinya dalam serbuan di kediaman rasmi gabenor itu pada 25 September tahun lalu.

Sejak ditahan jawatan Annas sebagai gabenor Riau digantung oleh kerajaan.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Rasuah Jakarta menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda Rp100 juta (RM28,204) terhadap Gulat kerana merasuah Annas. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain